Thursday, October 22, 2009

Tan Sri Athi Nahapan

[Edited: 09:20 / 22102009] Tan Sri Athi Nahapan mendapat pendidikan awal di Bukit Mertajam High School, Pulau Pinang. Selepas Perang Dunia Kedua pada 1947, ketika berusia 22 tahun beliau mula berkhidmat sebagai wartawan di dalam beberapa buah akhbar Tamil. Athi Nahapan merupakan wartawan malahan penyunting termuda yang pernah berkhidmat di akhbar Tamil Nesan ketika itu.

Ahti Nahapan merupakan tokoh pemimpin India yang terkenal di kalangan masyarakat lantaran sumbangan besarnya di dalam MIC. Pada tahun 1974 beliau telah diberikan kepercayaan oleh Tun Abdul Razak Perdana Menteri ketika itu untuk memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Undang-Undang.

Dua tahun kemudian iaitu pada 1976, ketika negara dipimpin oleh Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri, Athi Nahapan diberi kepercayaan yang lebih besar apabila dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengendalikan hal-ehwal perundangan dan kehakiman.

Selain dari penglibatan langsung dalam politik dan kabinet negara, Athi Nahapan turut memberi sumbangan dalam Badan Bukan Kerajaan. Misalnya semasa dalam proses pembentukan Malaysia, beliau turut dipilih sebagai Pemerhati kepada Suruhanjaya Cobbold. Beliau juga pernah menjadi wakil dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersama Tun Dr.Ismail sebagai Federal Capital Advisory Board dan juga sebagai Pengerusi PEMADAM.

Sumbangan beliau yang amat menyerlahkan adalah apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Royal Commission bagi sebarang permohonan perkhidmatan awam Malaysia. Semasa memegang jawatan ini beliau telah menyediakan sebuah laporan yang kemudian dikenali sebagai “Athi Nahapan Report” dalam empat jilid yang kemudian diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia.

Malangnya penyertaan beliau dalam kabinet dan berkhidmat untuk negara hanya untuk sementara kerana dua bulan selepas dilantik sebagai Menteri, Athi Nahapan meninggal dunia akibar diserang penyakit jantung di hadapan penyokongnya ketika beliau diraikan di sebuah majlis.

Source: Buku Menteri-Menteri Malaysia 1955-2008

No comments:

Post a Comment